KUALA LUMPUR, 8 Dis - Dr. Lo’Lo’ Ghazali (PAS-Titiwangsa) mencadangkan agar kementerian Kesihatan Malaysia memberikan kursus khas kepada doktor perubatan yang baru berkhidmat sebelum dihantar ke kawasan pedalaman.
Lo’ Lo’ sewaktu mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pagi tadi ingin tahu sama ada perkara itu telah dilalaksanakan kementerian atau tidak.
Ini kerana ujarnya, terdapat masalah doktor yang masih baru di klinik kesihatan dan tidak dapat menggunakan peralatan perubatan dengan baik.
"Saya mencadangkan sebelum doktor-doktor muda dihantar ke kawasan pedalaman, mereka diberikan kursus khas contohnya bagaimana untuk menggunakan mesin ultrasound,"
"Ini penting supaya mereka dapat menjalankan tugas dengan sempurna contohnya untuk membaca dan mentafsir keputusan x-ray dengan tepat," katanya.
Sebelum itu, Dato’ Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu) meminta Menteri Kesihatan menyatakan samaada kawasan pedalaman di seluruh negara disempurnakan dengan sekurang-kurangnya klinik kesihatan atau tidak khususnya di negeri Sarawak.
Beliau juga ingin tahu samaada setiap klinik kesihatan tersebut dilengkapi kakitangan dan alat perubatan atau tidak serta jumlah peruntukan tahunan Kementerian untuk tujuan tersebut.
Timbalan Menteri, Rosnah Abdul Rashid Shirlin (BN-Papar) memberitahu Kementerian telah membina lebih 3000 klinik kesihatan, klinik kesihatan ibu dan anak dan klinik desa dan 80 peratus daripada kinik-klinik tersebut terletak di kawasan pedalaman dan pinggir bandar.
Tiong King Sing bagaimanapun tidak berpuas hati dengan jawapan berkenaan sebaliknya menyifatkan ianya ‘hanya cantik di atas kertas’ namun gagal dari segi pelaksanaan.
Membidas jawapan Rosnah bahawa 95 peratus rakyat diliputi oleh sebuah fasiliti kesihatan yang berada dalam lingkungan 5 kilometer, beliau berkata di Bintulu, klinik sangat sukar ditemui.
"Di Bintulu, 50 kilometer belum tentu ada klinik,Menteri silalah turun padang lihat sendiri keadaan kami di sana," katanya.
dipetik dari http://muslimat.pas.org.my
0 comments:
Post a Comment