Seruan Sebelum Bertindak Diam
Semasa berkuliah di Surau al-Naim Wangsa Maju tempoh hari, saya telah menyentuh sedikit berkenaan dengan hal ini dalam suasana kita membincangkan Surah al-Kahf sebagai benteng penyelamat dalam konflik di antara Iman dan Materialisma (fitnah intelektual Dajjal).
Isunya ialah, keperluan kita untuk melihat isu penggunaan kalimah Allah di dalam The Herald secara yang lebih tersirat berbanding dengan hanya menghukum pada yang tersurat. Itu kehendak Surah al-Kahfi, yakni Muslim mesti menjadi good observant dan tekun melaksanakan contemplation (zikir dan fikir).
Secara tersurat, penggunaan kalimah Allah memang harus diguna pakai oleh Muslim dan non Muslim tanpa sebarang halangan nas. Pendapat ini juga disokong oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dan Sheikh Wahbah al-Zuhaili semasa mereka berkunjung ke Malaysia.
Justeru pandangan-pandangan yang bersetuju dengan keputusan mahkamah tentang membenarkan penggunaan itu, merupakan pandangan yang berpegang dengan apa yang tersurat.
Tetapi istilah-istilah di dalam Islam, menempuh proses kemasukan dan pengeluaran makna akibat interaksi persekitaran dengan istilah tersebut.
Rujukan kita ialah Surah al-Baqarah ayat 104.
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengatakan: “raaina”, (ketika kamu berkata-kata dengan Nabi Muhammad), sebaliknya katakanlah: “unzurna”, dan dengarlah kamu (segala perintah dengan sebulat hati menerimanya); dan (ingatlah, bahawa) orang-orang kafir itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya. [al-Baqarah 2: 104]
bagaimana tatkala Yahudi mengejek-ejek Rasulullah s.a.w dengan menggunakan perkataan yang double meaning iaitu RA’INA, Allah melarang penggunaan kalimah RA’INA di kalangan umat Islam, sebaliknya diperintahkan agar menggunakan kalimah UNZURNA dah ISMA’U yang memberikan makna yang sama, tetapi mempunyai konotasi yang bersih daripada fitnah.
Jika kita tidak setuju dengan keputusan mahkamah ini, maka inilah alasan kita. Tidak mahu lafz al-Jalalah yakni ALLAH menjadi double meaning dalam suasana semasa dan akan datang yang banyak fitnah ini.
HAIRAN DENGAN MOTIF
Mengapa kita mengambil kira pandangan tersirat ini? Sebabnya ialah, kita hairan dengan sikap The Herald yang melanggar authoriti mereka sendiri iaitu Pope di Vatican City malah membelakangkan pandangan mainstream dalam agama Kristian Katholik yang menentang penggunaan kalimah Allah dalam ritual dan preaching mereka. Malah kita ragu-ragu dengan sikap tidak peduli The Herald terhadap teguran Dr. R. Albert Mohler, Jr.kepada Bishop Muskens yang mahu perkataan Allah diguna pakai dalam preaching mereka. Jika pandangan itu dianggap tidak valid kerana perbezaan Mazhab antara Katholik dan Protestan, justeru kita meminta supaya The Herald merujuk kepada Vatican City dan bukan mengheret isu ini ke mahkamah.
Bagaimana sebuah institusi Katholik yang sangat menekankan mesej keamanan dan kasih sayang tiba-tiba mengambil jalan agresif melalui mahkamah untuk menuntut hak mereka. Justeru tindakan mereka ini amat meragukan di kedua belah pihak Muslim dan Kristian. Kita ada sebab untuk mengesyakinya.
Jadi, seruan saya di Surau al-Naim tempoh hari ialah supaya isu ini dihalusi sebab penentuan sikap bukanlah hanya berdasarkan makna daripada nas, memandangkan semua nas berkaitan adalah bersifat zanniyyah. Sebaliknya isu ini mesti mengambil kira analisa historical, epistemological, theological dan semantic.
PENCEMARAN
Tetapi diskusi berkaitan hal ini telah dicemari oleh penyebaran persepsi bahawa menyokong keputusan mahkamah bererti menyokong Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat manakala membantahnya pula bererti bercita rasakan UMNO. Justeru meleret-leretlah polemik PAS yang dituduh menggadai prinsip kerana mengikut kehendak PKR dan DAP manakala UMNO pula dikutuk kerana setelah banyak tanggungjawab agama diremehkan, tiba-tiba mahu menjadi juara dalam isu ini.
Segalanya menjadi hodoh apabila rumusan akhirnya berlegar di situ.
Itulah serba sedikit rumusan saya. Tetapi memandangkan isu ini menjadi sangat menghuru-harakan keadaan, maka saya berhenti mengulasnya dan mendatangkan Di Jalan Pegangan Yang Masih Gelap Itu sebagai sikap muktamad saya.
Wallahu A’lam.